Jumaat, 6 Julai 2012

Macam2 hal la.

Tindakan segelintir pihak yang merancang untuk mengadakan demonstrasi Kempen Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari ini dilihat sebagai satu usaha yang bakal mengundang kehancuran kepada industri pelancongan negara.
Dalam konteks pelancongan faktor kestabilan politik dan ekonomi negara banyak mempengaruhi perkembangan industri pelancongan negara. Demonstrasi jalanan seumpama ini dilihat bakal memberikan implikasi negatif terhadap Industri pelancongan sekali gus membantutkan perkembagan sektor pelancongan
Rentetan daripada demonstrasi jalanan BERSIH yang diadakan di ibu negara Kuala Lumpur sekitar tahun 2007 dan 2010 bukan sahaja memberikan implikasi negatif terhadap imej negara malah turut menarik kemajuan industri pelancongan ke kancah kehancuran.
Untuk rekod pada tahun 2010, negara mencatatkan kehadiran pelancong sebanyak 24.6 juta dengan jumlah pendapatan sebanyak RM56.6 bilion. Namun menurut sumber daripada Kementerian Pelancongan sasaran untuk mendapatkan kehadiran pelancong sebanyak 25 juta tidak dapat dicapai pada tahu 2011. Situasi tersebut membuatkan pihak kementerian terbabit terpaksa mengkaji semula sasaran kehadiran pelancong bagi tahun 2011 dan sehingga kini jumlah kehadiran pelancong pada tahun 2011 masih belum dapat diumumkan.
Penurunan bilangan pelancong pada tahun 2011 khususnya pada bulan Julai 2010 dipercayai disebabkan oleh penganjuran Demonstrasi BERSIH 2.0 yang di adakan di Kuala Lumpur pada tahun lepas.
Kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam usaha menarik kunjungan pelancong asing ke negara ini menerusi kempen besar-besaran. Hasil daripada pelaburan yang besar ini, kesan kejayaan industri pelancongan negara dapat dinikmati bukan sahaja oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan tetapi semua peringkat masyarakat. Peniaga kecil, pengusaha gerai makan, pemandu teksi dan ramai lagi ‘orang kita’ mendapat percikan nikmat daripada limpahan pelancong asing yang datang ke negara kita. Tetapi jika kekacauan seperti demonstrasi jalanan ini masih terus menjadi budaya dalam negara kita, janganlah kita mengharapkan pelancong asing akan datang berduyun-duyun ke negara kita. Usahlah kita angankan pelancong asing akan datang melancong dan berbelanja di negara kita.
Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara jiran seperti demonstrasi yang berlaku di Bangkok tidak berapa lama dahulu. Kesan daripada demonstrasi tersebut telah menjejaskan sektor pelancongan di Thailand dan menjadi pengalaman paling buruk kepada industri pelancongan di rantau ini.
Secara logiknya pelancong akan memilih destinasi pelancongan yang selamat untuk dilawati. Dalam merancang percutian kita tidak boleh berkompromi dengan faktor keselamatan. Rata-rata meletakkan faktor keselamatan sebagai faktor utama dalam memilih destinasi percutian mereka.
Jangan tunggu pelancong asing datang berduyun-duyun lagi ke negara kita buat masa ini sekiranya demonstrasi ini tetap diadakan. Saya percaya kesan demonstrasi jalanan tersebut sukar untuk dipadamkan mungkin untuk tempoh 6 bulan hingga 1 tahun lagi. Dalam tempoh tersebut banyak pihak yang akan ‘sengsara’ khususnya buat mereka yang terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan. Lebih-lebih lagi dengan liputan agensi-agensi berita asing yang ‘tanpa jemu’ menyajikan berita-berita ‘panas’ demonstrasi jalanan di Malaysia kepada seluruh masyarakat dunia, nama baik negara tentunya akan terjejas.
Justeru Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang pengajuran demonstrasi ini dan menyeru semua pihak menghalang penganjuran aktiviti seumpama ini. Hentikan demonstrasi jalanan! Hentikan keganasan yang banyak mengundang kesan jangka panjang yang negatif terhadap industri pelancongan negara. Marilah kita bertindak secara bijak dan janganlah mengikut perasaan. Industri pelancongan bukan milik sesetengah pihak dan parti politik tertentu sahaja. Ia milik semua masyarakat Malaysia. Dalam konteks pelancongan kita harus bersatu hati dalam menjayakan aspirasi bersama tanpa mengira latar belakang parti politik. Kita semua adalah aset pelancongan yang cukup berharga.Keamanan, kedamaian dan keharmonian masyarakatnya adalah aset pelancongan negara yang paling penting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan