Pertubuhan
bukan kerajaan (NGO), syarikat pengangkutan awam dan persatuan teksi terus
melahir kecaman terhadap tindakan penganjur serta mereka yang menyertai
perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu kota,
Sabtu lalu.
Rata-rata mereka masih tidak dapat memaafkan perbuatan itu
yang bukan saja menyusahkan rakyat malah menjejaskan ekonomi dan melumpuhkan
sektor pengangkutan awam dan perniagaan.
Setiausaha Agung Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman, berkata kejadian itu
bukan saja memberi mesej salah kepada masyarakat antarabangsa malah menimbul
kesan trauma mendalam kepada mangsa terutama golongan kanak-kanak dan
wanita.
Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab dan keterlaluan,
melampaui batas fikiran dan undang-undang serta memberi kesan kepada pelbagai
pihak termasuk peniaga yang mengalami kerugian dalam perniagaan
mereka.
Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca),
Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata mereka yang berdemonstrasi perlu menggunakan
saluran yang betul bagi mengelak golongan yang tidak bersalah menjad
mangsa.
Pengurus Besar Komunikasi Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras
Sdn Bhd (RapidKL), Ebi Azly Abdullah, berkata kejadian itu menjejaskan operasi
bas serta transit aliran ringan (LRT) selepas stesen Masjid Jamek dan Bandaraya
terpaksa ditutup dari jam 1.57 hingga 6.20 petang. Sumber:
Bernama
[ii] Kesan Demonstrasi Jalanan KETIKA menghadiri
satu majlis perkahwinan di Kuala Terengganu malam kelmarin, ramai bertanyakan
mengenai penganjuran perhimpunan haram di ibu kota pada 9 Julai ini. Ada juga
bertanyakan apakah individu utama menganjurkan perhimpunan itu, Datuk Ambiga
Sreenevasan, orang yang sama menjadi peguam kes murtad Lina Joy dan
bertanggungjawab, bagi pihak Majlis Peguam, menerima memorandum menuntut
pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kira-kira 10 tahun lalu.
Jika reaksi beberapa orang itu boleh dianggap mewakili majoriti
orang Melayu luar bandar, maka reaksi mereka terhadap rancangan mengadakan
perarakan haram itu agak membimbangkan. Barangkali kerana rekod Ambiga sebelum
ini, mereka melihat cadangan perarakan itu tidak lebih daripada provokosi bukan
saja kepada pihak berkuasa tetapi kepada orang Melayu dan Islam. Malah, ada yang
mempersoalkan kenapa perarakan seumpama itu sentiasa diadakan di Jalan Tuanku
Abdul Rahman, yang kesannya menimpa kepada peniaga kecil Melayu di kawasan itu,
bukannya di Brickfields dan segi tiga emas Bukit Bintang?
Mungkin kerana
kebimbangan perarakan ini bertukar menjadi rusuhan perkauman, ia mendapat
bantahan daripada berpuluh pertubuhan yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat.
Ratusan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan
terhadap penganjur perarakan itu cukup untuk menunjukkan bahawa majoriti rakyat
menolak budaya demonstrasi jalanan dan amat menghargai keamanan. Mereka bukan
saja pernah merasai kesan buruk daripada siri demonstrasi yang berlaku di Kuala
Lumpur sebelum ini, tetapi turut melihat kematian, kecederaan dan kemusnahan
daripada tindakan serupa di beberapa negara asing sekarang. Bagi generasi yang
lebih dewasa, mereka masih tidak lupa dengan kesan buruk daripada peristiwa
berdarah 13 Mei 1969.
Kepada banyak pihak, rancangan perarakan haram itu
tidak lebih daripada cubaan pembangkang, yang berselindung di sebalik pergerakan
berkenaan untuk mencetuskan momentum baru bagi menghadapi pilihan raya umum,
yang mereka percaya akan diadakan dalam tempoh setahun ini. Mereka pernah
melakukannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan pembangkang
mencatat kejayaan besar. Jika benar pilihan raya di negara ini tidak bersih,
bagaimana mungkin parti pemerintah boleh kehilangan majoriti dua pertiga di
Parlimen dan tewas di lima negeri.
Oleh kerana itu, perarakan haram yang
dijadualkan kali ini, sebenarnya bukan mahu menuntut pilihan raya bersih dan
adil tetapi mahu memberi nafas serta modal baru kepada pembangkang. Penerimaan
semula rakyat khususnya sokongan orang Melayu dan India kepada kerajaan serta
masalah kepemimpinan dalam barisan pembangkang, memerlukan satu peristiwa besar
bagi mengalih perhatian umum sama ada dari dalam negara dan media antarabangsa.
Bagaimanapun, mereka lupa budaya, iklim politik dan kehidupan rakyat di negara
ini jauh berbeza dengan negara yang saban hari sekarang menyaksikan demonstrasi
jalanan.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pertubuhan
setakat ini, pihak berkuasa seharusnya sudah boleh bertindak bagi memastikan
perarakan itu tidak menjadi kenyataan pada 9 Julai ini. Tindakan tegas harus
diambil kepada ketua mana-mana kumpulan yang terbabit, sama ada yang menyokong
atau menentang perarakan itu. Publisiti mengenai perarakan haram ini sudah cukup
membimbangkan rakyat biasa, apa lagi peniaga di kawasan terbabit serta pelancong
yang mahu datang ke negara ini ketika itu.
Kita mempunyai pelbagai
undang-undang bagi mencegah perkara yang boleh mencetuskan keadaan huru hara di
negara ini. Pihak berkuasa tidak seharusnya takut untuk bertindak walaupun
pembangkang nanti pasti menjadikannya sebagai modal menagih simpati masyarakat
antarabangsa. Yang penting ialah ketenteraman majoriti rakyat negara ini yang
cintakan keamanan, bukannya pandangan negara atau media asing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan